Friday, February 6, 2009

ISU KEHIDUPAN

Allhamdulillah, segala puji-pujian bagi ALLAH TA’ALA Tuhan yang menciptakan dan mentadbir semester alam. Selawat serta salam buat kekasih-NYA, Rasul junjungan, juga kepada ahlul-baitnya serta para sahabat baginda s.a.w, tidak lupa juga kepada para tabiin, tabi-tabiin dan semua warisatul anbiya sepanjang zaman yang sentiasa bersinar nur Islam di dalam hati-hati mereka.

Sahabat sahabiah sekalian, Raudhah pada keluaran kali ini turut diisi dengan info-info dan nasihat yang berguna kepada para pembaca sekalian. Semoga apa yang disajikan ini dijadikan sebagai tauladan dan ikutan, insyaALLAH… pihak editor pada kali ini lebih suka membicarakan tentang satu perumpamaan Ulama tentang perjalanan hidup manusia. Katanya kehidupan manusia ini seperti sebuah pelayaran sebuah bahtera merentasi lautan untuk menuju ke sebuah destinasi yang telah ditetapkan.

Sebelum bahtera itu memulakan perjalanannya yang sangat jauh dan penuh dengan halangan, ia akan singgah sebentar di sebuah pulau. Maka, disitulah semua penumpang bahtera tersebut akan turun dan mencari bekalan secukup-secukupnya bagi menempuh satu perjalanan yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Ada penumpang yang mengambil bekalan yang lebih dan ada juga yang hanya sekadar keperluan sahaja, ada juga yang bekalannya hanya ala kadar sahaja dan ada juga yang asyik berlengah-lengah menikmati keindahan pulau tersebut. Apabila tiba masa bahtera akan berangkat memulakan perjalananya, semua penumpang bersegeralah menaiki bahtera tersebut, maka di situ tersedarlah kepada mereka-mereka yang asyik lalai. Bahtera akan berangkat menghadapi dugaan yang besar di lautan sedangkan bekalan yang mereka miliki belum tentu cukup untuk selamat sampai ke destinasi, ada yang mati kebuluran.

Begitulah kita diumpamakan dalam kehidupan, sebagai manusia yang bergelar muslim kita ada matlamat yang perlu dicapai. Dalam perjalanan menuju destinasi tersebut penuh dengan dugaan dan cabaran. Jika kita asyik leka dengan keindahan duniawi semata-mata nescaya suatu hari nanti kita akan tersedar bahawa bekalan yang kita bawa sebenarnya masih belum mencukupi… wallahu a’lam…

No comments: